::LAMAN MOTIVASI ADYVA::[Dirimu tak akan ke mana2 JIKA....]


hye u olsssss...KALI nie adyva MEMANG ank berkongsi TIP2 motivasi dengan semua kawan!!!..

kalai nie JOM kita tengok apa akan terjadi JIKA dirimu sudah TERLALU SELESA di satu2 tempat!...

letsssss....

Kebanyakan orang amat takutkan kegagalan… Rata-ratanya begitu, malah dilatih agar membenci kegagalan. Apabila gagal, kita ditertawa, dipersalahkan, didenda dan sebagainya. Itulah lumrahnya.

Diri kita tidak akan ke mana-mana jika kita takut untuk menghadapi kegagalan dan takut untuk menang (berjaya). Akibat daripada dua jenis takut ini, iaitu TAKUT GAGAL dan TAKUT UNTUK BERJAYA, akibatnya seseorang manusia itu akan:

1. Selesa dengan seadanya. Bangun pagi buat kerja seadanya, selesai kerja, makan, minum, berborak kosong, menonton TV dan tidur. Itulah rutinnya, tidak mahu buat lebih daripada itu. Sampai mati.

2. Hidup tidak pernah berubah atau berkembang. Rutin hariannya hanya ala kadar. Katanya, “cukuplah, janji selesa.”

3. Masih tetap di tempat yang sama dan hasilnya sama. Orang lain sudah jauh ke hadapan, tetapi mereka masih pada tahap yang biasa-biasa. Suam-suam kuku.

4. Hanya tunggu dan lihat. Namun walau sudah lihat pun, hanya sekadar melihat. Tidak lakukan apa-apa. Masih duduk di situ.

5. Malas bergerak dan berusaha. Kepada mereka yang bersikap sebegitu, jangan dengkikan kejayaan orang lain kerana mereka telah berusaha kuat. Kejayaan hanya untuk mereka yang berusaha kuat sahaja. Bukan untuk si pemalas.

6. Takut untuk melakukan sesuatu keputusan yang bagus untuknya. Dirinya berfikir akan dua hal iaitu “bagaimana jika aku gagal, dan bagaimana pula setelah aku berjaya nanti?” Dirinya amat takut jika gagal dan amat takut juga jika terlalu berjaya.

7. Melakukan kerja hanya ala kadar. Nanti buat lebih-lebih, ada orang kritik pula.

8. Tidak mahu turut serta berjuang dalam hal-hal yang besar walaupun dirinya mampu. Ini kerana mereka tidak berani menanggung sebarang risiko.

9. Ilmu tidak akan bertambah kerana tiada usaha pencarian ilmu. Malas untuk pergi belajar seperti ke kursus, bengkel, seminar dan sebagainya. (Membaca buku sahaja tidak cukup. Perlu pergi berguru.)

10. Sempit pengalaman kerana tidak mahu berjalan jauh. Dirinya lebih selesa berada di sofa yang empuk, menonton TV bersaiz besar, sambil minum dan makan yang sedap-sedap. Jika boleh, tidak mahu keluar rumah terlalu kerap.

Semaju mana dunia, jangan hanya terperap di dalam rumah. Perlu juga keluar ‘berjuang’. Jika tidak, kebanyakan kata-kata kita lebih kepada pandangan kendiri tanpa melihat skop yang realiti.

11. Hanya mampu menjadi tukang kritik terhebat. Hanya pandai berkata-kata tapi tidak jujur pada diri sendiri. Yang mengkritik tiada apa-apa, yang dikritik pula orang-orang berjaya. Orang yang banyak mengkritik biasanya tidak ada apa-apa.

Setakat mengkritik dengan papan kekunci (keyboard) dan melalui internet,its nothing’ dan sikap seorang pengecut. Kalau benar hebat, kritiklah melalui dunia sebenar dan tampilkan identiti sebenar. Orang-orang begini berada di dalam ruang yang amat selesa, tetapi pengecut dan tidak berani. Seorang penakut.

12. Selain menjadi pengkritik terhebat, mereka juga menjadi tukang mempengaruhi orang lain agar jangan hidup berisiko dan jangan buat sesuatu yang besar-besar (yang hebat). Katanya, “Marilah kita hidup berseronok dan penuh selesa. Lupakan yang susah-susah.” Kalau semua orang begini, hancur negara, hancur bangsa dan tidak akan terlaksana perjuangan Agama.

13. Takut menanggung risiko. Jika boleh, hidupnya mahu sifar risiko. Akibatnya, dirinya tidak ke mana-mana. Tidak berkembang pesat seperti rakan-rakannya yang lain. Jika diberi pilihan, mahu sahaja dirinya bersenang-senang sehingga mati.

14. Tidak mampu membuat keputusan yang cepat dan muktamad. Kalau telah membuat keputusan pun, masih lagi 50-50. Hatinya tidak tekad.

15. Hidup selalu di dalam kegelisahan kerana takut. Takut gagal, takut dikritik, takut disisihkan, takut ditolak (rejection) dan takut segala-galanya. Hidupnya dibayangi oleh bayang-bayang sendiri.

16. Suka mencari kesalahan orang lain agar dengkinya terubat. Apabila dijumpai kesalahan orang terutama orang yang telah berjaya, disebar-sebarkan kepada orang lain.

17. Tidak dapat berbuat apa-apa jika terjadi sesuatu. Orang-orang penakut sebegini biasanya hanya mampu dilindungi, tetapi tidak mampu melindungi orang lain. Ini kerana, selama ini mereka hanya selesa dalam zon mereka sahaja. Tidur, makan, minum, berbual kosong dan berseronok.

18. Sering bersikap defensif iaitu setiap kali orang lain menasihati mereka, ada sahaja yang mereka akan katakan untuk mempertahankan diri mereka. Bak kata pepatah,

“menegakkan benang yang basah”.

19. Sukar untuk menerima nasihat orang lain. Atau, jika mendengar nasihat pun, ia tidak membawa mereka ke mana-mana kerana perasaan takut itu telah menguasai mereka melebihi perasaan yang lain.

20. Sering mencari dan membuat alasan untuk mengelak daripada terlibat melakukan sesuatu yang mereka takut, walaupun perkara atau peluang itu boleh mengubah hidup mereka.

Sikap-sikap atau perilaku yang disenaraikan di atas tidaklah berlaku secara sekaligus pada seseorang yang tersebut. Mungkin beberapa sahaja atau boleh juga kesemuanya sekali. Ada yang bertahap biasa, pertengahan dan kritikal.

Kesimpulan

Diri kita tidak akan ke mana-mana jika kita tidak menggunakan sepenuhnya apa yang kita ada sama ada ilmu, akal, minda dan kemampuan yang miliki. Ya, seoptimum mungkin dan semaksima mungkin.

Dikatakan, ulat beluncas di dalam kepompong yang dibantu keluar tidak akan dapat terbang, malah akan mati. Sebaliknya beluncas yang sehabis mungkin berusaha mengeluarkan dirinya dari kepompong akan membolehkannya terbang kerana akibat usaha kuatnya itu, akan teralir bendalir yang dapat membuatnya terbang.

Begitu juga kita, selagi kita tidak berusaha kuat dan berjuang habis-habisan, begitulah kita. Di situ lah kita. Itu lah kita. Masih di takuk lama. Tidak ke mana-mana. Masih tidak berubah-rubah. Kerana, kemampuan yang sebenar belum lagi dikeluarkan dan diguna pakai seoptimum yang mungkin.

Maka dengan ini, kita berusahalah:

1. Lakukan sesuatu yang mencabar agar segala kemampuan yang tersembunyi akan kita sedari tanpa disangka. Sesuatu kelebihan pada diri itu biasanya akan diketahui apabila diri teruji. Dan, biarlah orang mengkritik, kerana di situ kita akan tahu apa yang boleh kita pertingkatkan.

2. Gagal dalam usaha bukanlah salah di sisi Agama dan undang-undang. Jangan hiraukan undang-undang ciptaan manusia (individu) yang melihat kegagalan sebagai satu yang hina. Juga, jangan hiraukan kata-kata negatif manusia apabila kita berjaya. Apakah hak mereka?

3. Keluar dari kepompong yang selesa. Lakukan sesuatu yang luar daripada kebiasaan, atau yang menggunakan kelebihan diri dengan seoptimum mungkin.

4. Luaskan perjalanan agar kita dapat melihat hidup ini dengan lebih jauh dan dengan 1001 tafsiran yang adil.

5. Melatih diri agar mempunyai hati yang cekal, tekad dan tidak mudah berundur.

Jika dirumus rahsia kejayaan, maka boleh kita katakan, “mempunyai sifat berani gagal dan berani berjaya sudah memadai (dengan syarat, diiringi dengan usaha yang betul dan bersungguh-sungguh).”

Di sebalik kejayaan manusia, adanya kegagalan. Gagal yang mulia adalah gagal selepas berusaha. Orang yang gagal sesebenarnya adalah, orang yang gagal berusaha.

Orang yang mencuba dan berusaha sesuatu dan kemudian gagal, adalah lebih baik dan lebih tinggi kedudukannya berbanding mereka yang tidak berbuat apa-apa.

Marilah kita menjadi manusia yang hebat. Manusia yang hebat adalah manusia yang memanfaatkan segala anugerah dan kurnia yang Allah berikan. Bukan manusia yang membiarkan itu semua begitu sahaja tanpa diguna pakai untuk manfaat diri sendiri dan manusia yang lain.

Adakah kita salah seorang daripada manusia yang hebat itu? Tepuk dada, tanya diri sendiri. Kepada yang sedang berada di dalam zon selesa, ‘buang sofa dan tilam yang empuk itu jauh-jauh’, dan keluarlah berjuang untuk menjadi manusia yang berjaya dan tidak takut akan kegagalan!

Sekian.

Ulasan

Catatan Popular