Industri Pelacongan Malaysia =)
INDUSTRI PELANCONGAN
Oxford English Dictionary mendefinisikan pelancongan adalah orang yang membuat lawatan atau kunjungan pada masa kelapangan (Honey, 1999). Di Malaysia industri pelancongan mula muncul pada akhir tahun 1960. Industri pelancongan tidak dianggap sebagai aktiviti ekonomi yang utama sehingga ke tahun 1970 kerana pada masa itu, sumbangan komoditi utama seperti getah dan bijih timah adalah jauh lebih penting. Pada tahun 1970, kerajaan Malaysia mula membangunkan industri pelancongan untuk memenuhi beberapa objektif seperti peningkatan pendapatan dalam pertukaran mata wang asing, meningkatkan peluang pekerjaan dan pendapatan, menggalakkan pembangunan kawasan, mempelbagaikan ekonomi dan meningkatkan hasil kerajaan.
Kini Malaysia di iktiraf pada peringkat global sebagai antara destinasi pelancongan utama, dengan kedudukan di antara 10 teratas dari segi ketibaan pelancong dan 15 antara teratas dari segi penerimaan global. Industri pelancongan juga merupakan penyumbang yang penting kepada ekonomi Negara. Pelancongan menjadi suatu bidang pelaburan bijak yang dapat memacu pertumbuhan industri-industri berkaitan yang lain yang kesemuanya berperanan sebagai wahana dalam pembangunan mega Malaysia menuju negara maju dalam abad ini.
Pelancongan merujuk kepada pelancongan libur dan pelancongan perniagaan, dan ia merangkumi subsektor yang berikut: penginapan, membeli-belah, produk pelancongan (iaitu ekopelancongan, pelancongan kapal persiaran dan aktiviti lain yang berkaitan seperti spa dan kesejahteraan), makanan dan minuman serta pengangkutan dalam negeri (inbound) dan pengangkutan domestik.
Malaysia mempunyai kedudukan permulaan yang kukuh untuk melonjakkan dirinya menjadi destinasi pelancongan yang utama. Industri pelancongan sudah sememangnya besar, telah pun berkembang secara tekal dengan pantas untuk tempoh 10 tahun yang lepas dan juga mempunyai kedudukan daya saing global yang kukuh. Asas yang kukuh ini dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan sumbangan sektor pelancongan kepada ekonomi Negara.
i)KOMPONEN POPULASI
Dalam bahagian pasaran, kompenen yang memainkan peranan dalam menentukan perkembangan dan kemajuan industri pelancongan ialah kompenen populasi. Dalam pelancongan, individu yang terlibat dikategorikan kepada dua iaitu penduduk setempat dan pelawat. Apabila kedua-duanya mengembara, wujudlah istilah pengembara atau pelawat. Pengembara pula dapat dilihat dalam dua aspek iaitu mereka yang mengembara dalam skop pelancongan dan mereka yang mengembara bertujuan memenuhi aktiviti lain. Mengikut perspektif pelancongan, mereka yang mengembara dalam skop pelancongan dikenali sebagai pelancong.
Pelancong biasanya mempunyai motivasi yang berbeza yang mendorong mereka untuk melancong seperti terdapat pelancong yang melancong bertujuan untuk menambah minat dalam kehidupan dan terdapat juga pelancong yang melancong sekadar untuk memenuhi keperluan untuk berehat dan mengenali diri sendiri. Pelancong yang mempunyai motivasi yang berbeza mendorong seseorang untuk melancong dan mempengaruhi kehendak terhadap lawatan yang dilakukan seperti pelancong yang merasakan hidup terlalu pendek berkecenderungan untuk mencuba segala aktiviti dan melawati destinasi-destinasi yang sukar didapati. Selain itu, pelancong biasanya melancong ke suatu destinasi bertujuan memenuhi beberapa aktiviti antaranya tujuan perniagaan, melawat kawan dan keluarga atau serta berhibur. Tujuan mereka melancong ini seterusnya mewujudkan kategori dan jenis pelancong dalam industri pelancongan.
ii)BAHAGIAN PEMBEKALAN
Bagi melengkapkan keberkesanan dan keselesaan dalam industri pelancongan, pembekal perlu membekal serta menawarkan produk atau pun perkhidmatan pelancongan kepada pelancong. Terdapat tiga kompenen utama yang perlu diberi perhatian dalam industri pelancongan. Kompenen-kompenen ini adalah:
iii)KOMPONEN PENGANGKUTAN
Sektor pengangkutan memainkan peranan penting bagi memastikan pelancong sampai ke destinasi yang hendak dituju. Malah, sektor pengangkutan masa kini adalah salah satu produk yang ditawarkan dalam industri pelancongan. Terdapat pelbagai mod pengangkutan antaranya jalan raya, air, udara dan landasan. Pengangkutan yang berdasarkan mod jalan raya lebih mudah ditawarkan kerana ia banyak digunakan masa kini memandangkan kos penggunaannya juga lebih murah. Malah, bagi tujuan pelancongan masa kini, penggunaan bas ekspres sering kali digunakan terutamanya oleh mereka yang melancong secara berkumpulan. Mod pengangkutan udara walaupun mahal tetapi penting kerana ia dapat menghubungkan destinasi yang tidak mempunyai mod pengangkutan jalan raya dan air. Penggunaan pengangkutan udara juga dapat menjimatkan masa terutamanya perjalanan antarabangsa. Mod pengangkutan air pada masa kini lebih kerap digunakan dalam pelancongan bagi tujuan berehat dan berhibur. Ini terbukti dengan wujudnya kapal pelayaran. Pemilihan pelancong dalam memilih mod pengangkutan dipengaruhi oleh beberapa aspek. Antaranya, pelancong lebih cenderung memilih pengangkutan mengikut jarak destinasi yang hendak mereka kunjungi. Pelancong juga lebih cenderung memilih mod pengangkutan yang dapat menawarkan keselesaan dan mempunyai status yang tinggi.
Selain itu, pelancong lebih menitik beratkan aspek keselamatan dan harga dalam memilih mod pengangkutan. Ini memandangkan industri pelancongan masa kini sering kali tergugat oleh faktor-faktor di luar jangkaan seperti pengganas dan bencana alam. Sistem pengankutan yang sistematik akan memudahkan pelancong asing pergi dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain. Dengan adanya sistem pengangkutan yang mengenakan tambang pada harga yang berpatutan, selamat, selesa, cekap dan mengikut jadual yang ditetapkan, para pelancong mudah pergi ke sesebuah tempat tanpa perlu menghadapi banyak masalah. Antara contoh pengangkutan moden yang terdapat di Malaysia ialah monorel, komuter, kapal laut, bas, teksi dan sebagainya. Mereka tidak lagi berhadapan dengan masalah pengangkutan untuk pergi ke kawasan pulau dan tanah tinggi. Sebagai contoh, para pelancong boleh menggunakan perkhidmatan feri atau kapal terbang untuk pergi ke Pulau Langkawi. Terbukti bahawa pengangkutan awam memainkan peranan penting dalam memajukan ekonomi di Malaysia. Sesebuah destinasi pelancongan tidak mungkin berkembang tanpa sokongan infrastruktur pengankutan yang baik.
iv)KOMPONEN TARIKAN
Peningkatan jumlah kedatangan pelancong di sesuatu kawasan pelancongan banyak berkaitan dengan daya tarikan yang terdapat di destinasi pelancongan tersebut. Daya tarikan yang unik dan tersendiri merupakan kuasa magnet yang menarik seseorang untuk melancong ke destinasi tersebut. Pelancong lebih berminat untuk melancong ke sesuatu destinasi pelancongan yang mempunyai ciri-ciri tarikan semula jadi seperti Gunung Kinabalu. Selain itu destinasi pelancongan yang mempunyai ciri-ciri tarikan kebudayaan juga dapat menarik minat pelancong untuk melancong di destinasi pelancongan tersebut. Contohnya, negeri Melaka yang mempunyai elemen-elemen sejarahnya dan keunikan budaya kaum seperti Portugis dan Baba Nyonya yang tiada di negeri-negeri lain di Malaysia menyebabkan Melaka terkenal dengan Bandaraya Bersejarah.
v)KOMPONEN PERKHIDMATAN
Kompenen perkhidmatan merupakan kompenen yang penting dalam industri pelancongan di sesebuah Negara. Ini kerana faktor penentu kepada kemasukan pelancong di sesebuah tempat pelancongan berkait rapat dengan kompenen perkhidmatan yang ditawarkan oleh industri pelancongan tersebut. Semakin tinggi kemudahan perkhidmatan yang ditawarkan oleh sesebuah industri pelancongan semakin tinggi jumlah kedatangan pelancong ke kawasan pelancongan tersebut. Kompenen perkhidmatan meliputi segala bentuk kemudahan yang digunakan oleh pelancong semasa berada di destinasi pelancongan. Elemen-elemen perkhidmatan diperlukan oleh pelancong di destinasi pelancongan yang mereka lawati adalah untuk menyokong mereka menjalani kehidupan sepanjang mereka berada di destinasi pelancongan.
Antara kompenen perkhidmatan yang diperlukan oleh pelancong untuk menyokong mereka menjalani kehidupan sepanjang berada di destinasi pelancongan ialah penginapan. Oleh kerana pelancong itu sendiri membawa maksud ke luar dari tempat tinggal asal, maka ia juga membawa maksud pelancong menginap di tempat itu. Di sini jelas sektor penginapan penting bagi memenuhi keperluan pelancong. Sektor penginapan juga menawarkan pelbagai bentuk penginapan dan makanan kepada pelancong. Antara jenis penginapan yang ditawarkan kepada pelancong adalah yang berbentuk tidak perlu dibayar ataupun perlu bayaran yang murah seperti hostel atau asrama sekolah.
i)MAKLUMAT DAN PROMOSI
Maklumat atau promosi juga penting dalam industri pelancongan bagi mempromosikan aktiviti-aktiviti dan pengalaman-pengalaman yang boleh diperolehi oleh pelancong sepanjang berada di destinasi pelancongan tersebut. Bagi meningkatkan kedatangan pelancong di sesuatu destinasi pelancongan pihak pengurusan perlu menyediakan maklumat-maklumat yang ditawarkan sebelum dan semasa pelancong melancong di destinasi tersebut. Maklumat-maklumat yang boleh dipromosikan adalah seperti aktiviti-aktiviti dan pengalaman yang ditawarkan, tarikan-tarikan yang boleh mendorong pelancong untuk melancong ke destinasi tersebut, pengankutan dan kos yang diperlukan untuk sampai ke destinasi pelancongan tesebut dan tempat-tempat penginapan yang boleh didapati di kawasan pelancongan tersebut. Selain itu, pihak pengurusan perlu mempromosikan latar belakang sesuatu destinasi pelancongan seperti bahasa dan budaya yang digunakan oleh penduduk tempatan bagi memudahkan pelancong berkomunikasi danberinteraksi dengan penduduk tempatan.
Pelancongan luar bandar melibatkan kepelbagaian aktivirti, perkhidmatan dan keselesaan yang disediakan oleh penduduk luar bandar. Di Malaysia pembangunan pelancongan desa semakin berkembang sejak 20 tahun lepas melalui pembangunan program-program homestay. Dalam konteks Negara ini, pelancongan desa merujuk kepada pembangunan program-program homestay di kampung-kampung berjaya di seluruh Malaysia. Inisiatif kerajaan dalam membangunkan program homestay sebagai produk pelancongan desa adalah satu pendekatan yang baik dalam memberi nilai tambah kepada aktiviti ekonomi tradisional tempatan. Namun tahap pencapaian sehingga kini, perubahan hanya berlaku dari aspek kuantiti program tetapi dari aspek kualiti program homestay tidak jauh berbeza.
Sepertimana yang telah dinyatakan sebelum ini antara fungsi utama industry pelancongan adalah untuk menuju pembangunan pesat dalam ekonomi negara. Antara kepentingan dan sumbangan industry pelancongan di dalam ekonomi negara adalah:-
ii) PENGALIRAN WANG ASING
Dengan peningkatan dari tahun ke tahun pelancong ke Malaysia, ia dapat meningkatkan ekonomi negara dari segi pengaliran wang asing masuk ke negara di mana pelancong dari luar negara akan menukar mata wang negara mereka kepada mata wang Ringgit Malaysia untuk berbelanja di Malaysia dan mata wang asing ini kemudian disimpan untuk digunakan ketika membiayai perbelanjaan mengimport barang dari luar negara.
iii)DAPAT MEMAJUKAN BIDANG PERNIAGAAN DI MALAYSIA
Pelancong yang melancong semestinya memerlukan keperluan asas seperti tempat penginapan, makanan dan minuman. Pelancong asing diberi pilihan untuk menginap di hotel bertaraf lima bintang, resort atau menginap secara pakej seperti ”Eco-Tuorism” yang membolehkan pelancong asing menginap di rumah kampung dan mempelajari cara hidup masyarakat termasuk cara berpakaian, makanan tradisional dan sebagainya. Seperti mana yang dilihat di Malaysia telah banyak pusat penginapan yang menjadi tumpuan pelancong tidak kira dalam negara mahupun luar negara dan masyarakat sekitar kawasan yang menarik dijadikan pusat pelancongan akan berpeluang menceburi bidang perniagaan. Pada tahun 2010, seramai 2,998 orang telah dilatih dan diberi lesen untuk mengendali penginapan homestay di seluruh negara. Selain itu, kerajaan telah mempromosikan pakej pelancongan komuniti orang asli telah membuka peluang pekerjaan kepada orang asli menjadi pemandu bot dan pemandu pelancong alam semulajadi (Laporan ekonomi 2010/2011) Hal ini secara tidak langsung mencapai sasaran kerajaan dalam DEB.
Selain itu, keunikan dan kepelbagaian makanan yang berlainan bagi setiap negeri merupakan penarik utama bagi pelancongan. Ianya tidak dinafikan juga terdapat pelancong dalam negara juga sanggup untuk melancong untuk merasai makanan bagi setiap negeri. Begitu juga dengan perkhidmatan lain seperti perkhidmatan pengangkutan, juru pandu pelancong dan perkhidmatan lain.
MEMBUKA PELUANG PEKERJAAN YANG LEBIH LUAS
Perkembangan yang mampan dalam industry pelancongan ini juga akan membawa kepada kewujudan lebih banyak penginapan, restoran atau gerai-gerai makanan, perkhidmatan pemandu pelancong dan banyak lagi yang membawa kepada lambakan peluang pekerjaan untuk masyarakat. Seperti mana yang diketahui industri pelancongan merupakan antara industri yang memerlukan ramai tenaga kerja seperti pekerja hotel, pemandu pelancongan, pekerja kedai cenderamata dan pekerja kedai kraftangan.
PENGANGKUTAN DAN PERHUBUNGAN
Dari aspek pengangkutan dan perhubungan pula, Malaysia sudah mempunyai beberapa syarikat penerbangan murah yang turut membantu mempromosikan pelancongan negara seperti syarikat penerbangan Firefly, Air Asia, MAS dan Rayani Air yang menawarkan perkhidmatan tambang murah (Amal Hayati Ishak et all 2010) Hal ini dapat menjana pertumbuhan ekonomi negara dengan menggalakan rakyat Malaysia sendiri untuk pergi melancong ke destinasi pilihan domestik disamping dapat mengurangkan pengaliran keluar matawang negara.
i) Cabaran Masa Depan
Sektor pelancongan di negara kita berkembang maju dan menjadi sumber pendapatan negara yang penting. Hal ini menyebabkan tempat pelancongan di negara ini dibuka dengan banyak seperti cendawan selepas hujan. Kerajaan telah menggerakkan semua agensinya untuk memastikan sektor pelancongan berkembang pesat sejajar dengan pembangunan negara yang pantas. Namun, masih ada ruang dan luang yang wajar dimanfaatkan oleh semua pihak untuk memastikan semua pihak mendapat faedah daripada perkembangan sektor ini. Jika ditinjau dengan mendalam terdapat banyak cabaran yang dihadapi oleh sektor pelanconagan di negara kita pada masa depan.
Antara cabaran yang dihadapi termasuklah persaingan sektor pelancongan dengan negara-negara yang lain. Hal ini demikian,bukan sahaja negara kita tetapi negara-negara yang lain juga mengetahui kebaikan dan kepentingan sektor pelancongan terhadap sesebuah negara. Oleh itu banyak negara mempromosikan pelancongan di negara mereka dan kita hendaklah bersaing dengan mereka untuk menjadi destinasi utama pelancong. Oleh itu, kita haruslah membuat persediaan yang cukup untuk menarik para pelancong ke negara kita.
Di samping itu, pencemaran alam sekitar juga merupakan salah satu cabaran sektor pelancongan di negara kita pada masa depan. Hal ini disebabkan, pencemaran alam sekitar kebelakangan ini menjadi semakin buruk akibat sikap tidak bertanggungjawab segelintir ahli masyarakat dan telah merosakkan kecantikkan alam sekeliling kita. Pada masa kini,negara kita mempunyai alam sekeliling yang cantik sekali dan telah menjadi tulang belakang bagi sektor pelancongan di negara kita. Jika pencemaran alam sekitar menjadi buruk, sektor pelancongan di negara kita pasti dijejaskan kerana pelancong-pelancong hendak menikmati persekitaran yang cantik dan bersih bukan yang kotor serta busuk.
Selain itu, tidak kestabilan politik di negara kita juga merupakan cabaran yang kita akan hadapi . politikyang tidak stabil akan menjejaskan imej negara.Sebagai contoh, Pergaduhan yang berlaku kebelakangan ini di Thailand. Kekeliruan ini telah menyebabakan pelancong dari negara lain tidak berani pergi ke sana disebabkan kaselamatan diri semasa melancong. Ramai pelancong tidak lagi suka datang ke sini atau memberitahu kawan-kawan mereka tentang keindahan negara kerana imej yang sudah terjejas itu. Lama-kelamaan, imej yang tidak dijaga ini akan membawa lebih banyak kemusnahan imej. Jelaslah, politik yang tidak stabil akan membawa banyak kesan buruk pada sektor pelancongan.
i) SISTEM SOKONGAN OLEH KERAJAAN DAN SWASTA YANG DITAWARKAN UNTUK PEMBANGUNAN INDUSTRI PELANCONGAN
Pada tahun 1972, Akta Perbadanan Kemajuan Pelancongan Malaysia 1972 telah diluluskan oleh Parlimen dan mendapat persetujuan Diraja dan dengan ini Perbadanan menjadi sebuah badan berkanun. Ahli-ahli Lembaga Pengarang adalah dilantik oleh Y.B. Menteri Perdagangan dan Perindustrian dan adalah bertanggungjawab menjalankan tugas-tugas Perbadanan dan pentadbiran am mengenai hal ehwal dan urus Perbadanan.
Di dalam menjalankan tugas-tugas yang diperuntukkan, garis-garis yang ditetapkan oleh Perbadanan adalah seperti memperkenalkan Malaysia di dalam pasaran antarabangsa dan serantau, menambahkan perjalanan warganegara Malaysia di masa cuti di antara negeri bagi menggiatkan lagi perkembangan pelancongan dalam negeri menyertai dalam pembangunan fizikal industri pelancongan, mengadakan perhubungan perwakilan dan menjalani tugas-tugas yang berhubung dengan pelancongan Antarabangsa dan serantau, menempatkan Malaysia sebagai pusat konvensyen, mengikuti perkembangan pembangunan dan mempastikan keperluan sekarang dan masa depan bagi pelancong-pelancong dalam negeri dan luar negeri dan juga membuat pengesyoran bagi pembangunan Wilayah, mengumpul, mengolah data-data pelancongan dan keterangan-keterangannya bagi penggunaan statistik pelancongan, mengatur, mengawal dan menentukan Industri Pelancongan berkembang bagi kepentingan negara.
Dalam Rancangan Malaysia ke-6 (RMK-6: 1991-1995), kerajaan telah bekerjasama dengan pihak swasta dalam membangunkan produk-produk pelancongan baru. Kemudian, pada tahun 1994, kerajaan sekali lagi melancarkan Tahun Melawat Malaysia 1994 (TMM 94) dengan menawarkan 170 program dan acara merangkumi kebudayaan, kesenian, kraftangan, perayaan kebangsaan, sukan, konvensyen dan pameran.
Pelbagai aktiviti yang menarik telah diadakan oleh pihak kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan. Aktiviti yang dimaksudkan adalah seperti pameran kejohanan sukan bertaraf dunia termasuklah pameran Maritim dan Udara Langkawi (LIMA) dan Kejohanan Lumba Basikal Tour de Langkawi. Kejohanan-kejohanan dan pameran ini perlu dirancang dengan teliti agar dapat dijalankan sepanjang masa dengan promosi yang lengkap dan meluas. Penganjuran sukan bertaraf antarabangsa dapat memperkenalkan negara kepada perwakilan atau atlet-atlet dari luar negara seterusnya dapat menarik kedatangan pelancong dari seantero dunia dan membuktikan kepada mereka bahawa Malaysia bukan sahaja cemerlang dari segi penganjuran sukan bertaraf antarabangsa tetapi jugaterbilang dalam bidang pelancongan. Kesannya, kedatangan pelancong ke negara kita juga akan berterusan tanpa menunggu musim-musim tertentu sahaja. Dengan cara ini, kita dapat meningkatkan ekonomi negara dan mengekalkan pulangan yang diperoleh daripada kedatangan pelancong ke negara kita.
Dalam usaha untuk memasarkan jenama Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang patut dikunjungi, kerajaan melalui pelbagai agensinya begitu agresif mempromosikan produk pelancongan kepada warga dunia kerana kata orang tak kenal, maka tak cinta. Hasilnya, baru-baru ini Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan telah menganjurkan acara “Malaysian Kitchen” di kota London untuk memperkenalkan kepelbagaian makanan tempatan kepada warga Britian. Acara ini didapati telah mendapat sambutan yang hangat daripada warga negara berkenaan. Selain itu, Kementerian Pelancongan juga aktif menyertai pameran-pameran pelancongan terutama di pasaran baharu yang berpotensi besar seperti negara-negara Timur Tengah dan Eropah Timur. Tuntasnya, promosi yang telah diatur sudah pasti akan merancakkan sektor pelancongan di Malaysia.
Pada masa yang sama juga kerajaan sentiasa berusaha untuk mempelbagaikan produk pelancongan negara agar tidak terlalu bergantung kepada produk sedia ada. Kini, terdapat pelbagai produk pelancongan yang cuba diteroka dan dimajukan untuk memenuhi citarasa pelancong yang pelbagai. Antara lain, kerajaan mula menonjolkan pelancongan sukan melalui penganjurkan banyak acara sukan bertaraf antarabangsa seperti Formula One dan Tour De Langkawi. Malahan, kerajaan tidak ketinggalan memajukan sektor ekopelancongan lantaran kekayaan khazanah alam semula jadi di Malaysia seperti Taman Negara Belum dan Taman Negara Kinabalu yang telahpun diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO. Tidak ketinggalan, kerajaan juga menggalakkan agro pelancongan menerusi acara-acara sepeti Pesta Buah-buahan Tempatan dan Pesta Flora. Dalam tempoh terdekat ini pula, kerajaan telah bersedia untuk memajukan pelancongan kesihatan lantaran kemajuan negara dalam bidang perubatan. Di samping itu, pelancongan pendidikan turut disediakan bagi menarik minat pelajar asing menimba ilmu di menara gading tempatan yang menawarkan pelbagai kursus bertaraf dunia. Deduksinya, produk pelancongan yang pelbagai ini amat sesuai dengan moto Kempen Zoom Malaysia, iaiatu “Segala-galanya terdapat di Malaysia”.
Tidak dapat kita nafikan bahawa masyarakat setempat menjadi tulang belakang kepada usaha mengangkat nama Malaysia sebagai destinasi pelancongan dunia. Sementalahan pula, sebagai tuan rumah kepada para pelancong, warga tempatan hendaklah mempamerkan sikap ramah dan berbudi bahasa bagi memastikan para pelancong selesa dan berasa kehadiran mereka dialu-alukan. Di samping itu, jika merancang untuk bercuti dan melancong, rakyat tempatan hendaklah menjadikan destinasi pelancongan tempatan sebagai pilihan.
Salah satu cara sokongan kerajaan dalam meningkatkan industri pelancongan adalah melalui, fungsi tourism Malaysia. Tourism Malaysia akan memanfaatkan promosi dan pemasaran digital sepenuhnya melalui penggunaan perkakasan interaktif dan media sosial yang inovatif untuk menawarkan pengalaman pelancongan yang disesuaikan mengikut keperluan segmen pasaran khusus. Media sosial akan digunakan untuk menguasai pasaran pelancong memandangkan pandangan dan ulasan dalam talian menjadi semakin popular sebagai rujukan kepada pelancong dalam membuat keputusan pengembaraan. Peserta industri akan digalakkan untuk memaksimumkan potensi pemasaran digital dengan memanfaatkan platform yang disediakan oleh Tourism Malaysia. Platform pemasaran akan dipertingkatkan untuk lebih mesra pengguna, interaktif dan mempunyai kandungan yang menarik dan relevan.
Pembangunan dan pelaksanaan produk serta kemudahan secara bersepadu antara agensi Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dengan pihak berkuasa tempatan akan dipertingkatkan. Usaha ini adalah untuk membolehkan kecekapan dan keberkesanan dalam pembangunan pelancongan secara lestari dengan penggunaan sumber secara optimum dapat dicapai. Semua projek pelancongan akan dibangunkan berdasarkan Dasar Pelancongan Negara.
Langkah-langkah
Sebagai sebuah negara yang beriklim Khatulistiwa, Malaysia mempunyai alam semula jadi yang unik dengan deretan pulau yang menawan. Oleh itu, negara kita mampu menjadikan industri pelancongan sebagai sumber utama pendapatan negara jika alam semula jadi itu dieksploitasi sepenuhnya. Berdasarkan jumlah pelancong yang semakin bertambah ke negara kita sejak belakangan ini, jelas menunjukkan bahawa negara ini mempunyai daya tarikannya yang tersendiri. Buktinya, sepanjang tahun 2008, Malaysia telah dikunjungi oleh 22 juta orang pelancong yang menyumbangkan pendapatan sebanyak RM48 bilion kepada negara. Keunikan budaya rakyat yang berbilang kaum menjadi aset penting dalam usaha negara menggamit kedatangan pelancong.Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Dato’ Sri Dr. Ng Yen Yen menyarankan agar tugas menarik kedatangan pelancong harus menjadi tanggungjawab semua pihak dan tidak terletak di bahu kerajaan sahaja supaya industri pelancongan dapat dimajukan. Setiap anak watan perlu merancang usaha-usaha yang istiqamah,pragmatik dan efektif perlu diambil untuk melihat industri ini merentasi benua dan dunia.
Langkah prima untuk meningkatkan industri pelancongan negara ialah kerajaan perlu memperlengkapkan kemudahan dan prasarana pengangkutan dan perhubungan di negara kita sehingga menjadi prasarana kelas pertama terutamanya destinasi yang menjadi tumpuan pelancong. Faktor utama pelancong datang di sesebuah negara adalah kerana kemudahan prasarana seperti pengangkutan dan perhubungan yang terdapat di sesebuah negara. Hal ini kerana pelancong yang berkunjung ke sesebuah negara ingin keselesaan dan mencari ketenangan. Oleh itu, kerajaan wajar memperlengkapkan kemudahan pengangkutan dan komunikasi yang ada khususnya untuk memudahkan pelancong sampai ke destinasi yang akan dituju. Misalnya, banyak pelancong yang datang ke negara kita adalah untuk menikmati keindahan pulau dan pantai. Oleh itu, kerajaan harus menambah kemudahan perkhidmatan bot atau feri dari tanah besar ke beberapa buah pulau di sekitar Laut China Selatan untuk memudahkan orang ramai menikmati keindahan alam semula jadi. Tugas menyediakan kemudahan ini akan lebih berkesan sekiranya kerajaan sentiasa mengawasi syarikat yang ditugaskan untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan tersebut. Sudah terang lagi bersuluh bahawa kemudahan yang baik akan memudahkan para pelancong menelusuri dari satu destinasi pelancongan ke satu destinasi pelancongan yang lain dan dapat membangunkan industri ini.
Selain itu, kemudahan penginapan yang selesa seperti hotel, chalet, tandas, bekalan air dan elektrik turut menjadi faktor penting dalam menarik banyak pelancong mengunjungi negara kita. Kemudahan penginapan penting kerana situasi ini akan menentukan sama ada seseorang pelancong itu akan tinggal lama atau sebaliknya. Jika tempat penginapan selesa dan lengkap, hal ini akan mendorong seseorang pelancong itu tinggal lebih lama di negara ini sekali gus membolehkan negara memperoleh lebih banyak mata wang asing. Pembinaan hotel dan rumah penginapan yang tumbuh seperti cendawan tumbuh selepas hujan di bandar atau di desa di seluruh negara membuktikan kesungguhan negara dalam usaha menarik kedatangan pelancong ke negara ini. Penyediaan kemudahan penginapan harus juga mengambil kira kadar sewa dan taraf sesebuah hotel yang dibina itu. Masalah tandas yang terhad dan berbau busuk selain bekalan air dan elektrik yang kerap meragam perlu diatasi. Prasarana ini hendaklah dijaga agar pelancong tertarik untuk berkunjung lagi ke sini. Tegasnya, keselesaan pelancong ketika menginap di negara kita perlu dititikberatkan agar industri ini dapat dibangunkan.
Di samping itu, langkah-langkah keselamatan juga perlu diambil bagi menjamin kepuasan dan kesejahteraan pelancong semasa berada di negara kita. Kita tidak seharusnya lupa dengan gelagat segelintir masyarakat yang mengambil kesempatan ke atas pelancong. Oleh itu, Unit Keselamatan Pelancong perlu ditubuhkan untuk membantu pihak polis menangani jenayah ke atas pelancong. Kejadian-kejadian rogol, mencabul kehormatan, menghendap, peras ugut, rompak dan tipu harus ditangani secepat mungkin. Kejadian seumpama ini akan membimbangkan pelancong untuk melancong di negara kita dan sekali gus akan mengancam industri ini. Oleh itu, pihak berautoriti perlulah menambahkan bilangan anggota keselamatan terutamanya di destinasi tumpuan pelancong agar keselamatan dan kesejahteraan pelancong akan terjamin. Rondaan juga perlu dilakukan dengan lebih kerap dan lebih banyak pondok keselamatan didirikan. Dengan ini, pihak yang ingin melakukan perbuatan yang terkutuk tidak dapat dilakukan kerana adanya kawalan dan pemantauan yang ketat oleh pihak berkuasa. Ringkasnya, aspek keselamatan perlu dititikberatkan agar pelancong asing terus berkunjung ke negara ini dan memelihara imej negara.
Deduksinya, sinergi daripada pelbagai lapisan masyarakat dapat membantu meningkatkan bidang pelancongan negara seterusnya dapat menyumbang kepada kemajuan negara.
Berdasarkan penerangan di atas, jelaslah bahawa terdapat pelbagai cara yang dapat dilakukan untuk memajukan industri ini. Segala usaha yang direncanakan itu memerlukan obligasi dan komitmen jitu daripada semua pihak serta perlu dijalankan secara bijaksana umpama menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak. Usaha yang holistik dan syumul ini perlu dijalankan secara sistematik dan tidak hanya sekadar melepaskan batuk di tangga. Diharapkan industri pelancongan negara ini akan terus berkembang dan sentiasa meniti dari bibir ke bibir rakyat di peringkat glokal dan global. Bukan itu sahaja, diharapkan juga industri pelancongan di Malaysia dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara pelancongan yang lain.
Ulasan
Catat Ulasan