PEMAHAMAN TERHADAP HABBATUSAUDA & KHASIATNYA

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 517: PEMAHAMAN TERHADAP LAFAZ HADITH HABBATUSSAUDA’ SEBAGAI PENAWAR SEGALA PENYAKIT

Muqaddimah

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam, selawat serta salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, seterusnya ahli keluarga baginda, isteri-isteri, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke hari akhirat.


Soalan

Adakah benar mengenai hadith habbatussauda’ itu penyembuh segala penyakit, pada lafaz kullu “كل” (setiap) itu hanya menunjukkan sebahagian penyakit?

Ringkasan Jawapan

Berdasarkan penjelasan ulama terhadap hadith ini dapat difahami bahawa lafaz “penawar bagi segala penyakit” itu merujuk kepada penyakit-penyakit tertentu sahaja. Perkara tersebut bersesuaian dengan keadaan dan suasana ketika itu. Oleh itu, adalah tidak tepat jika difahami lafaz “كل” (setiap) tersebut secara literal kerana boleh menyebabkan kekeliruan.

Huraian Jawapan

Persoalan ini timbul berdasarkan beberapa riwayat hadith berkaitan Habbatussauda’. Antaranya, hadith yang diriwayatkan oleh ‘Aishah R.A,

إِنَّ هَذِهِ الحَبَّةَ السَّوْدَاءَ شِفَاءٌ مِنْ كُلِّ دَاءٍ، إِلَّا مِنَ السَّامِ، قُلْتُ: وَمَا السَّامُ؟ قَالَ: المَوْتُ

Maksudnya: Sesungguhnya Habbatussauda’ adalah penawar bagi segala penyakit, melainkan al-Saam. Aku bertanya: Apakah al-Saam itu? Baginda SAW menjawab: “Kematian”.

Riwayat al-Bukhari (5687)

Jika, hadith ini difahami secara literal maka semua penyakit yang wujud boleh diubati dengan hanya menggunakan habbatussauda’. Tetapi, harus diketahui bahawa tidak semua hadith boleh difahami secara literal. Apabila hadith ini tidak difahami menggunakan kaedah yang betul, maka boleh menyebabkan salah faham dan kekeliruan. Kebiasaannya, salah faham terhadap hadith ini berlaku pada perkataan “penawar bagi segala penyakit”, sehinggakan masyarakat beranggapan bahawa habbatussauda’ ini mampu menyembuhkan setiap penyakit kecuali mati.


Penjelasan Ulama

Menurut Ibn Hajar al-ʻAsqalani, habbatussauda’ dapat mencegah penyakit-penyakit yang disebabkan oleh kesejukan. Antaranya, apabila biji habbatussauda’ dihancurkan dan dibalutkan dengan kain sehingga mengeluarkan aroma, maka aromanya boleh membantu menyemmbuhkan orang yang menghidapi selsema akibat cuaca yang sejuk. Selain itu, habbatussauda’ yang telah dimasak bersama cuka dan berkumur dengannya maka ia mampu meredakan sakit gigi. [1]

Begitu banyak manfaat daripada habbatussauda’ yang boleh digunakan oleh manusia. Sebagaimana yang telah disebutkan di dalam kitab-kitab syarah hadith. Walaupun begitu, perkara ini bukanlah membawa maksud habbatussauda’ ini boleh menyembuhkan kesemua penyakit yang terdapat di bumi.

Dalam menjelaskan lafaz ini, Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan pandangan al-Khattabi yang menyatakan bahawa lafaz “penawar bagi segala penyakit” adalah lafaz yang bersifat umum tetapi membawa maksud yang khusus. Hal ini kerana menurut Imam al-Khattabi, tidak ada satu pun tumbuhan yang diciptakan oleh Allah SWT di dunia ini yang terkumpul di dalamnya semua manfaat bagi tujuan perubatan. [2]

Ibn al-Qayyim pula menyebutkan bahawa habbatussauda’ sangat bermanfaat untuk merawat penyakit-penyakit yang bersifat sejuk. Selain itu, ia juga boleh merawat penyakit yang bersifat panas lagi kering disebabkan faktor tertentu. Bahkan, tidak mustahil bagi ubat yang bersifat panas untuk digunakan pada penyakit yang juga bersifat panas secara khusus. Kerana telah banyak bukti ubat-ubatan yang bersifat panas mampu mengubati penyakit yang juga bersifat panas. Contohnya, al-Kibriit (belerang) yang bersifat panas mampu merawat penyakit panau ataupun kegatalan. [3]

Ibn Battal dan Abu Jamrah pula berpandangan dengan keumuman lafaz hadith tersebut, namun kaedah perawatan menggunakan habbatussauda’ adalah berbeza mengikut kesesuaian penyakit. [4]

Namun begitu, para ulama berbeza pandangan dalam menyebutkan fungsi habbatussauda’. Sebahagian menyatakan hanya boleh menggunakannya bagi rawatan terhadap penyakit-penyakit yang disebabkan sejuk. Sebahagian yang lain pula mengatakan boleh digunakan bagi merawat penyakit yang disebabkan faktor kesejukan ataupun panas. Terdapat sebahagian lagi yang berpandangan dengan keumuman lafaz hadith tersebut tetapi tertakluk kepada perincian-perincian tertentu. Walau bagaimanapun, mereka berbeza pandangan dalam satu sudut tetapi setiap pandangan tersebut mempunyai satu titik temu iaitu habbatussauda’ yang dimaksudkan dalam hadith ini tidak sesuai sebagai penawar segala penyakit.


Bahkan, di dalam al-Quran juga terdapat bentuk-bentuk lafaz “كل” (setiap) yang tidak menunjukkan kepada makna setiap, semua atau segala. Allah SWT berfirman:

أَمَّا السَّفِينَةُ فَكَانَتْ لِمَسَاكِينَ يَعْمَلُونَ فِي الْبَحْرِ فَأَرَدتُّ أَنْ أَعِيبَهَا وَكَانَ وَرَاءَهُم مَّلِكٌ يَأْخُذُ كُلَّ سَفِينَةٍ غَصْبًا

Maksudnya: Adapun perahu itu adalah ia dipunyai oleh orang-orang miskin yang bekerja di laut; oleh itu, aku bocorkan dengan tujuan hendak mencacatkannya, kerana di belakang mereka nanti ada seorang raja yang merampas tiap-tiap sebuah perahu yang tidak cacat.

(Surah al-Kahfi 18: 79)

al-Wāḥidī dalam karyanya al-Tafsīr al-Basīṭ menyebutkan bahawa merampas tiap-tiap kapal dalam ayat tersebut adalah merujuk kepada kapal yang elok sahaja. [5] Oleh itu, lafaz “كل” (setiap) dalam ayat tersebut menunjukkan bahawa tidak semua kapal yang akan dirampas oleh seorang raja tersebut tetapi hanya kapal-kapal yang elok sahaja akan dirampas olehnya. Selain itu, dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman:

إِنِّي وَجَدْتُ امْرَأَةً تَمْلِكُهُمْ وَأُوتِيَتْ مِنْ كُلِّ شَيْءٍ وَلَهَا عَرْشٌ عَظِيمٌ

Maksudnya: Sesungguhnya aku dapati seorang perempuan memerintah mereka dan ia telah berikan kepadanya (serba sedikit) dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan) dan ia pula mempunyai singgahsana yang besar.

(Surah al-Naml 27: 23)

Dalam tafsir yang sama, al-Wāḥidī menyebutkan bahawa Ibn ʻAbbās dan Maqātil berkata: “diberikan kepadanya dari tiap-tiap sesuatu” di dalam ayat tersebut adalah diberikan kepadanya daripada perbendaharaan dunia terdiri dari harta, tentera dan ilmu pengetahuan. [6] Hal ini menunjukkan lafaz “كل” (setiap) dalam ayat tersebut menunjukkan makna yang khusus bukannya umum iaitu mengkhususkan kepada tiga perbendaharaan tersebut.


Kesimpulan

Tidak dinafikan bahawa habbatussauda’ mempunyai banyak manfaatnya dalam hal perubatan. Para ulama telah memberikan penjelasan yang menggambarkan bahawa banyak manfaat habbatussauda’ kepada manusia. Bahkan, kajian-kajian saintifik masa kini juga telah banyak membuktikan kegunaan habbatussauda’ dalam perubatan. Meskipun begitu, masyarakat tidak boleh mengambil kefahaman bahawa habbatussauda’ merupakan penawar ataupun ubat yang mampu merawat segala penyakit di dunia ini secara literal kerana kefahaman seperti itu tidak tepat. Seeloknya, terlebih dahulu kita merujuk kepada pakar-pakar perubatan yang berautoriti berkenaan hal ehwal penyakit dan rawatan. Wallahua’lam.

Rujukan

[1] Aḥmad bin ʻAlī bin Ḥajr al-ʻAsqalānī, Fatḥ al-Bārī Syarḥ Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, ed. Muḥammad Fu’ād ʻAbd al-Bāqī (Bayrūt: Dār al-Maʻrifah, 1379), 10/144-145.

[2] Ibid., 10/145.

[3] Muḥammad bin Abī Bakr bin Ayyūb Ibn Qayyim al-Jawziyyah, al-Ṭibb al-Nabawī (Bayrūt: Dār al-Hilāl, t.t), 1/223.

[4] Ibn Baṭṭāl Abū al-Ḥasan ʻAlī bin Khalaf, Syarḥ Ṣaḥīḥ al-Bukhārī li Ibn Baṭṭāl, ed. Abū Tamīm Yāsir bin Ibrāhīm (al-Riyāḍ: Maktabah al-Rusyd, 2003), 9/397. Lihat juga Aḥmad bin ʻAlī bin Ḥajr al-ʻAsqalānī, Fatḥ al-Bārī Syarḥ Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, ed. Muḥammad Fu’ād ʻAbd al-Bāqī, 10/145.

[5] ʻAlī bin Aḥmad al-Wāḥidī, al-Tafsīr al-Basīṭi (Jāmiʻah al-Imām Muḥammad bin Saʻūd al-Islāmiyyah, 1430), 14: 117.

[6] Ibid., 17/206-207.

Sekiranya berminat dgn Habbatusauda MagicBlue ini, boleh terus berhubung dengan saya Di talian 0137382737 & agent berdekatan.

Ulasan

Catatan Popular