Bunga Kantan belakang rumah


Khasiat Bunga Kantan Dan Kebaikannya Untuk Kesihatan Anda
Bunga kantan adalah antara salah satu bahan penyedap dalam masakan terutamanya seperti laksa, nasi kerabu dan asam pedas. Tujuannya adalah untuk menambahkan aroma dan rasa masakan tersebut.

Pokok kantan merupakan sejenis pokok saka herba jenis tinggi yang boleh tumbuh merimbun dan berkelompok. ketinggiannya boleh mencapai sehingga kira-kira empat ke lima meter. Pokok kantan memerlukan tanah yang lembap dan subur iaitu yang mengandungi banyak humus.

Batang pokok kantan berbentuk bulat manakala daunnya pula panjang dan sederhana besar serta berwarna hijau. Terdapat dua jenis sulur yang akan keluar dari rizom iaitu bunga dan satu lagi akan mengeluarkan daun.

Di pangkal tumbuhan ini, pucuk-pucuk kecil akan terhasil yang pada mulanya kelihatan seperti daun tetapi lama-kelamaan akan berubah ke warna merah jambu pada bahagian hujungnya yang berisi dan tebal seakan-akan sekuntum bunga yang dipanggil bunga kantan. Bunga kantan ini mempunyai aroma yang sangat kuat tetapi segar.

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa bunga kantan bukan sahaja dapat menambahkan rasa dan aroma pada masakan tetapi juga mempunyai banyak khasiat yang boleh kita dapati. Jom kita tengok apakah khasiat bunga kantan yang baik untuk kesihatan.

Menghilangkan Bau Badan

Bunga kantan mengandungi khasiat yang tersendiri contohnya dalam setiap 100 g bahagian yang boleh dimakan, ia mempunyai 89.2g air, 1.6g protein, 1.3g lemak, 5.5g karbo, 1.4g serat, 54mg kalsium, 11mg fosforus, 3.4mg ferum, 11mg natrium, 453mg kalium, 0.02 mg vitamin B1, 0.2mg niasin dan vitamin C sebanyak 14mg. Ia juga mengandungi bahan antioksida yang amat baik untuk kesihatan.

Pokoknya juga dikatakan boleh menghilangkan bau badan terutamanya bagi wanita yang baru lepas bersalin.

Cara untuk melakukannya adalah hanya mengambil beberapa bahagian batang pokok kantan yang segar, potong pendek-pendek dan ditumbuk hingga lumat. Rebus bahan yang ditumbuk hingga mendidih dan apabila air telah sejuk, gunakan air tersebut sebagai air mandian.

Menghilangkan Rasa Lesu


Biji pokok kantan dikatakan boleh menghilangkan rasa kurang bermaya. Caranya adalah dengan menumbuk biji pokok kantan ini sehingga lumat. Tos biji ini untuk mendapatkan airnya. Kemudian campurkan dengan segelas air suam. Waktu yang paling sesuai diminum adalah pada waktu pagi. Amalkannya untuk beberapa kali untuk merasai keberkesanannya.

Masalah Sakit Telinga

Bagi mereka yang selalu mengalami masalah sakit telinga, buah kantan dikatakan boleh digunakan untuk menghilangkan masalah tersebut. Caranya adalah dengan merebus buah kantan itu selama beberapa minit. Apabila airnya sudah sejuk, titikkan air rebusan ke dalam telinga. Dikatakan jika ianya diamalkan selalu, bukan sahaja dapat melegakan kesakitan malah mampu mengatasi masalah telinga berair.

Pencuci Luka Pada Badan

Bagi mereka yang mengalami luka pada badan, anda boleh merebus daun kantan. Air rebusan yang masih suam dikatakan boleh digunakan untuk mencuci luka dengan cara melumurkannya keseluruh bahagian luka.

Merawat Kencing Manis Dan Darah Tinggi

Bagi mereka yang mengalami penyakit kencing manis dan darah tinggi, buah kantan dikatakan mampu untuk merawatnya dan perlu diambil secara teratur. Hanya rebus buah kantan, apabila telah suam, dan minum seperti biasa.

Awet Muda

Tahukah anda bahawa bunga kantan boleh dimakan begitu sahaja atau direbus dan dijadikan sebagai ulam-ulaman. Jika diamalkan, ia boleh memberikan kesan awet muda pada wajah.

Bunga kantan juga sebenarnya dikatakan boleh digunakan sebagai ubat bagi menghilangkan lendir dan kahak pada tekak. Selain itu, buah kantan juga mampu digunakan untuk menguatkan tenaga batin pada lelaki.

Walaupun terdapat banyak khasiat ubatan dari pokok dan bunga kantan, namun penggunaannya perlu juga mendapat nasihat dari pengamal perubatan untuk mengelakkan sebarang kemudaratan.

Ulasan

Catatan Popular