Nasihat Pak Cik Saiful Nang!

MAKCIK PAKCIK BUKAN KAKI JENAMA -- Ini pesanan pakcik kepada BBNU dalam pemilihan calon isteri. Pertama sekali, kita ni tak perlu nak hidup dalam penampakan cara T20 kalau kita sekadar M40. Impresi yang salah akan menyebabkan berlakunya penyelewengan tanggapan.
Pakcik selalu pesan jangan terpengaruh sangat dengan filem. Semua itu lakonan. Namun pakcik ada juga ambil pelajaran dari filem seperti Musang Berjanggut dan Bisikan Cinta. 
Dalam kedua filem ini, ada 2 karakter orang kaya. Seorang bangsawan nak cari isteri, menyamar jadi orang bodoh yang longgok semua bahan masak dalam satu karung dan lihat siapa wanita sabar boleh dijadikan isteri. Kedua, seorang usahawan yang sukakan seorang gadis anak nelayan bernama Ayu dan kemudian berpura-pura menjadi orang miskin. Jika Si Gadis masih jatuh hati, ternyata bukan kerana hartanya. Akhirnya Si Lelaki (Azhar Sulaiman) semasa nak meterai kontrak bilion billion dengan Mr. Yamada terjumpa dengan Cik Ayu lalu terkantoi penipuan jejaka itu. 
Satu yang lumrah, penipuan kaya menyamar miskin ini mudah nak dimaafkan. Namun penipuan miskin berlagak kaya jarang-jarang dapat ampun. 
Itu realiti semua. 
Tak perlu menduga sangat.
Jadi sahaja diri sendiri. 
Kerja mudah dan tak perlu jadi plastik.
Pakcik dalam urusan memenangi hati isteri dulu, pakcik tak berlagak kaya pun. Pakcik sekadar menampakkan diri lebih bajet berbanding kemampuan sebenar. Kebetulan Perodua Kembara pakcik kena sondol sampai terbalik di Federal Highway, pakcik bawa Kancil 660 pakcik yang tiada spotrim untuk bawa Makcik keluar. Tak kekok pun makcik naik kancil dengan pakcik. Tak perlu nak sewa kereta bajet T20 untuk terlihat jantan bermutu aras tinggi. 
Makcik pula dari awal pakcik perhati, dari kasut, baju, basikal, beg tangan dan banyak perkara lagi bukan dari yang berjenama. Sederhana sahaja, siap buat part time lagi kerja di pasar mini Sainsbury's semasa di Cambridge sebagai budak penghantar. Sebab itu, pakcik ingat makcik ni B40 macam pakcik. 
Satu ketika semasa pakcik dah berkawan serius dengan makcik, ibu bapanya hubungi pakcik nak berjumpa. Lutut pakcik goyang namun kuatkan juga kerana nak takut apa, kita tak buat salah cuma kurang yakin kerana kita orang biasa-biasa sahaja. 
.
Dalam hati dah siapkan skrip lelaki bermutu tinggi,
.
"Jika mencintai seorang gadis baik yang terdidik oleh ibu bapa yang baik satu kesalahan, saya rela menjadi pesalah itu"
.
Sebenarnya, banyak lagi skrip yang pakcik siakan. Dalam keadaan samar-samar apa punca pakcik dipanggil, pakcik pergi juga dengan kereta Kancil 660 pakcik yang tak ranggi langsung. Spring pun tak potong, body tak lowered dan tiada intercooler serta nose yang garang seperti remaja lain. 
Apabila sampai dalam pertemuan itu, barulah pakcik tahu makcik kau bukan anak orang sembarangan. Anak orang terhormat dan bergelar. Pakcik pula rasa janggal namun tetap berprinsip. Pakcik hadap sahaja pertemuan itu yang lebih nak bertanyakan sama ada pakcik bersungguh-sungguh atau tidak. 
Alhamdulillah, rupanya mudah sahaja. 
Pertemuan pakcik dengan bakal mentua pakcik langsung tidak melibatkan satu pertanyaan tentang aset semasa, penyata cukai, pengesahan pendapatan, penyata bank dan sebagainya. Dengan Kancil 660 parkir di hadapan rumah sahaja dipadan dengan seorang gadis keluarga terhormat, mentua hanya bertanya tentang kesungguhan pakcik sahaja. 
Pakcik ingat lagi kata-kata bakal mentua ketika itu "Kami tiada masalah jika kamu berdua sudah bersungguh-sungguh. Kami tak memilih selagi bukan penagih dadah". 
Berpandukan indeks jisim badan pakcik waktu itu, tiada tanda-tanda langsung pakcik seorang penagih. Kemungkinan itu yang meyakinkan bakal mentua pakcik ketika itu barangkali.
Mudah urusan dengan gadis yang tidak menyembah jenama-jenama. Datang dari ibu bapa yang juga tidak bercitarasa berjenama sehinggakan semasa rombongan peminang pakcik menanyakan berapakah hantaran perkahwinan nanti, selamba dijawab oleh pak mentua pakcik;
"Urusan hantaran ini, kami serah ikut perbincangan anak-anak yang nak bernikah nanti. Kami terima sahaja apapun". 
Berbeza dengan adik pakcik, bila bakal mentua kecundang beliau menyatakan angka tertentu yang senilai MyVii baru koyak plastik. Hanya untuk wang hantaran atas asbab anaknya berstatus doktorat universiti tempatan. Nasib baik pakcik tak kena begitu. 
.
Bukannya kami tak beli yang berjenama. Jika kualitinya baik dan pakainya lama, kami cari yang berjenama juga. Namun jika ada yang berkualiti baik dan tahan lama, kami tak kisah pun jenama apa. Namun bukan untuk tayang tayangan, tetapi keperluan.
Hujung cerita ini, pakcik nak pesan. Jadi diri sendiri seadanya. Nanti orang terima kita pun seadanya juga. Hidup jadi mudah, tak perlu pening-pening. 
Banyak rumahtangga rebah kerana telah bermula dengan impresi palsu gaya Megah Holdings tetapi lepas kahwin baru tahu rupanya mengah nak holdings. 
Pakcik ni tak pandai nak berlagak kaya. Sebab memang lahir dalam estet Bukit Kerayong bermain parit menggagau limbat bersama anak-anak estet sebelum pindah ke ladang Felda. Hidup sangat sukar seperti kerbau balau berselepat lumpur. Jika pergi ke sekolah nampak muka seperti putih berbedak itu bukannya talkum tetapi lumpur menggagau ikan yang dah cuci semasa mandi tetapi bila kering jadi macam bedak. Tiba-tiba nak berlagak macam anak saudagar yang ada banyak kapal, memang tak pandailah pakcik. Dari jauh orang dah nampak kekampungan pakcik.
Bahagia ikut cara kita. 
Kemampuan kita. 
Orang terima seperti mana selayaknya kita. 
Kita tak sepanjang masa akan rasa senang tanpa cabaran. Jika dah dibiasakan pasangan kita termanja dengan harta, mereka akan tinggalkan kita jika kita diduga dengan kekurangan harta. 
Pikat hati mereka dengan budi. 
Kau akan dapat suri hati sehidup semati sekalipun tak berharta. 
.
Sekian cerita pakcik hari ini. 
.
SAIFUL NANG 
Suami Bermutu Tinggi Kos Rendah
.
Notakaki : Ni gambar pakcik dan makcik sedang memadu kasih di ladang anggur di Kawarau semasa bawa trip Rarecation pergi New Zealand. Makcik kena bengkokkan kaki sedikit kerana beliau lebih tinggi dari pakcik semasa berdiri. Dalam keadaan berbaring, pakcik lebih tebal. Allah Maha Adil

Ulasan

Catatan Popular