Kenapa nak Bitter?

BERLEBIHAN

Dalam ada di kalangan kita yang masih Istiqamah memilih untuk memulaukan produk atau jenama tertentu berikutan terkesan dengan pembantaian saudara kita di..

Janganlah pula ada yang berlebih-lebihan dan melampaui batas hinggakan mengeluarkan kata kata kasar, mengherdik secara fizikal, apatahlagi menggelar hingga tahap mengubahsuai gambar untuk menyamakan saudara kita yang lain, samaada yang memilih tidak bersama kita sejak dari awal atau yang kini telah memilih untuk tidak lagi bersama kita sebagai seekor binatang.

Kerana bimbang perbuatan tersebut akan menyakiti mereka, kerana ketahuilah menyakiti seorang Muslim yang lain dengan sengaja adalah termasuk dalam perbuatan yang dicela Allah,

“Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang mukmin laki-laki dan perempuan tanpa kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata.” (33:58).

*Lihat juga Nota tambahan di bahagian komen*

Matematiknya sebagaimana kita meminta orang lain menghormati pilihan yang kita telah pilih dan tidak memaksa kita untuk buat apa yang kita tidak suka, begitulah juganya hak yang sama harus diberikan kepada orang lain.

Kuncinya hak memilih.

Ambil nota, pesan Syaikhul Islam Ibn Taymiyyah,

“Hendaklah orang yang beramar ma’ruf nahi mungkar memiliki tiga bekal : pertamanya berilmu, keduanya bersikap lemah lembut, dan ketiga bersabar. Berilmu harus dimiliki sebelum seseorang itu beramar ma’ruf nahi mungkar. Sikap lemah lembut harus ada ketika (di tengah-tengah) melakukan hal ini.  Dan sikap sabar harus dimiliki setelah seseorang beramar ma’ruf nahi mungkar.” (Al Amru bil Ma’ruf wan Nahyu ‘anil Mungkar, hal. 18).

Kalau dalam menghadapai perkara mungkar pun dinasihatkan supaya kita 'berlemah lembut' dan 'bersabar', apatah lagi jika apa yang saudara kita lakukan itu adalah sah dan halal di sisi syarie yang hanya berbeza dan dipisahkan dari sudut ijtihad dan pendapat, maka tidak seharusnya mereka diherdik, dihina atau diperlakukan dengan perkara yang buruk.

Maka saudaraku, berlapang dadalah, santunilah hak dan pilihan saudara kita yang lain dan jangan sesekali berlebih-lebihan kerana,

Sesungguhnya Allah Maha Penyantun. Dia menyukai sifat penyantun (lemah lembut) dalam segala urusan. Allah akan memberikan sesuatu dalam sikap santun yang tidak diberikan jika berbuat kasar.” (HR. Abu Daud).

Begitulah adalah yang lebih baik.

LAFAZ YANG TERCELA.

1. Imam An Nawawi rahimahullah berkata:

“Diantara lafaz yang tercela yang biasa digunakan orang untuk mencela orang yang berselisih denganya adalah perkataan ‘wahai keldai‘, ‘wahai kambing‘, ‘wahai anjing‘ atau semacamnya. Perkataan ini tercela dari 2 sisi: (1) itu merupakan dusta, (2) itu merupakan gangguan terhadap orang lain.” (Kitab Al Adzkar 365)

2. Sa’id bin Al Musayyab rahimahullah berkata:

“Jangan engkau berkata kepada temanmu ‘wahai keldai‘, ‘wahai anjing‘, ‘wahai babi‘. Sehingga kelak di hari kiamat engkau akan ditanya: ’apakah engkau melihat aku diciptakan sebagai anjing atau keledai atau babi?’.” (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dalam Al Mushannaf 5/282)

3. Ibrahim An Nakha’i rahimahullah berkata:

“Mereka (para tabi’in) dahulu mengatakan, jika seseorang mencela orang lain dengan perkataan ‘wahai keldai‘, ‘wahai anjing‘, ‘wahai babi‘ maka kelak Allah Ta’ala akan bertanya kepadanya di hari kiamat: ‘apakah engkau melihat Aku menciptakan (dia) sebagai anjing atau keledai atau babi?’.” (diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dalam Al Mushannaf 5/238)

Komen juga peringatan untuk diri yang menulis:

Kekal lah kamu beristiqomah akan apa yang kamu pilih dan percaya, namun berhati-hatilah dalam kamu berbicara dan kekal takut akan Allah.

Ulasan

Catatan Popular