AJL17 yg KELIRU

Lagu Keliru Yang mengelirukan?

Tiga hari setelah selesainya Juara Lagu dan lagu Keliru diumumkan sebagai juara, akhbar The Malay Mail menyiarkan komentar salah seorang wartawannya dengan judul “All’s well that ends well”. Lebih kurang maksudnya semuanya berjalan lancar dan baik dari mula hingga akhir. Antara lain tulis wartawan itu, Juara Lagu Ke-17 Ahad malam “managed to pull off the most difficult of tasks that local awards shows have to overcome.” Malah para pengkritik yang keras dan pedas sekalipun akur dengan keputusan juri. Tulisan wartawan ini tersiar di halaman 26.

Sehari sebelum itu Berita Harian menyiarkan di halaman hadapannya laporan seorang wartawannya yang bertajuk “Kontraversi Keliru Juara Lagu Ke-17 terjawab.” Menurut wartawan berkenaan semua sepuluh juri Anugerah Juara Lagu Ke-17 dan pihak pengurusan TV3 mengadakan pertemuan tergempar di Sri Pentas petang semalam  (Senin) dipercayai bagi meleraikan kontraversi berhubung pemilihan lagu “Keliru” sebagai  Juara Lagu 2002 Ahad lalu. Tulis wartawan itu, “Ini kerana pemilihan lagu ciptaan Aidit Alfian yang didendangkan pasangan penyanyi suami isteri, Nurul dan Ajai itu, dikatakan bukan saja mengelirukan ramai peminat muzik, malah ada juri turut mempersoalkannya.”

Seterusnya wartawan itu mengutip pendapat salah seorang daripada panel juri sebagai berkata, “Saya tidak pasti bagaimana Keliru boleh menang. Saya tidak kata lagu itu tidak bagus. Yang nyata, kebanyakan kami tidak memilih lagu itu.” Bagaimanapu, Freddie Fernandez, seorang lagi panel juri menjelaskan kedudukan perkara apabila berkata “isu itu cuma berkaitan masalah teknikal. Katanya, “Pilihan juri memang tidak sama. Masing-masing memberi markah yang sederhana bagi Nurul dan Ajai. Namun apabila dicampurkan, markah pasangan itu adalah yang tinggi berbanding penyanyi lain.”

Ini diakui Ketua Panel Juri, Datuk Johari Salleh. Menurutnya semua panel juri diberi kuasa menentukan pilihan masing-masing menurut urutan pertama hingga ke-12. Jadi bilangan kedudukan urutan pemilihan dijumlahkan. Akhirnya didapati secara nilai agregat lagu “Keliru” paling rendah sehingga dengan demikian kedudukan lagu itu disenaraikan paling tinggi. Johari mendakwa sistem yang digunakan bertaraf antarabangsa di diamalkan oleh kebanyakan negara dalam pertandingan lagu termasuk Festival Lagu Asia dan keputusan Juri adalah muktamad.

Pada 15 Januari seorang wartawan harian petang Metro melaporkan pendapat Habsah Hassan, seorang lagi ahli panel juri. Habsah dilaporkan sebagai berkata, “Bagi saya sistem itu tidak sesuai kerana memberi peluang kepada lagu yang bernasib baik untuk diumumkan sebagai pemenang kerana kebetulan markah paling tinggi sedangkan pertandingan itu mencari lagu terbaik.” Menurut pemberian markah adalah masalahnya. Ada ahli panel yang pemurah dengan memberikan markah tinggi untuk lagu yang bagus dan ada pula sebaliknya. Katanya, “Saya bukannya juri yang dikategorikan sebagai pemurah dengan memberi markah penuh atau maksimum kepada  lagu yang bagus. Pemarkahan bagi lirik pula hanyalah 13 peratus daripada jumlah keseluruhan markah. Kategori bagus bagis saya  mungkin 15 daripada 20, tetapi ada juri memberi 20 atau 19 untuk kategori bagus.”

Penyelenggara Anugerah Juara Lagu Ke-17 ini, iaitu TV3 melalui Pengurus Besar Hiburannya, Azhar Borhan dipetik Metro 15 Januari mempertahankan sistem yang dilaksanakan. Menurutnya tidak timbul isu bahawa lagu juara ditetapkan terlebih dahulu. Katanya, “Juri dan peminat terpaksa menerima hakikat yang lagu Keliru layak menang. Bagi peminat, mereka pilih pemenang berdasarkan penyanyi kesukaan mereka tetapi kami kami mencari pemenang bersandarkan lagu.”

Jika kita ikuti laporan dan pendapat yang disiarkan akhbar-akhbar ini maka timbul pertanyaan: Apakah benar Juara Lagu Ke-17 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur itu berjalan baik tanpa masalah? Seperti yang didakwa  wartawan The Malay Mail. Malah laporan wartawan ini tersiar sehari sesudah Berita Harian menimbulkan isu Juara Lagu yang dianggap bermasalah dan penuh kontraversi. Paling menarik lagi ialah rasa tidak puas hati dengan kemenangan lagu “Keliru” itu diluahkan oleh kebanyakan ahli panel juri sehingga memaksa TV3 memanggil satu mesyuarat tergempar antara juri dan pihak pengurusannya.

Maka jelas banyak yang tidak kena dengan perjalanan anugerah Juara Lagu Ke-17 tahun 2002. Diperkirakan inilah pertama kali sejak 16 tahun lalu, di kalangan juri berbalah tentang pemilihan lagu terbaik. Ada unsur jurang komunikasi di kalangan juri dan pengurusan. Ada panel juri yang dikatakan tidak faham sistem pemilihan. Barangkali juga, orang-orang  TV3 yang semuanya pakar dalam bidang komunikasi itu tidak dapat berkomunikasi dengan baik sehingga ada panel juri yang masih tidak faham-faham konsep pemilihan. Jika tidak mana mungkin mesyuarat tergempat diadakan setelah selesai pertandingan.

Penjelasan Azhar tentang pengiraan markah menarik. Menurutnya tidak seorang pun ahli panel juri meletakkan lagu “Keliru” nombor satu. Tapi apabila dikira semua markah lagu itu menduduki  tangga teratas. Sedikit pelik. Bagaimana mungkin lagu “Keliru” diumumkan pemenang andainya tidak seorang pun memilihnya nombor satu? Berdasarkan pengalaman saya menjadi ahli panel juri salah satu peraduan seni sastera yang menggunakan sistem ranking ini, jika sesuatu karya itu (katakanlah novel) tidak dicalonkan sebagai pemenang nombor satu oleh panel juri, maka dengan sendirinya karya itu tidak terpilih sebagai pemenang. Dan setelah menyenaraikan karya-karya mengikut urutan pemenang dari satu hingga 12, maka karya yang dipilih oleh majoriti panel ahli akan dibincangkan. Semua panel juri akan menilai karya itu dari semua aspek dan akhirnya memilih satu karya secara sebulat suara.

Tidak pasti bagaimana sebenarnya cara penghakiman Juara Lagu. Jika benar tidak ada seorang pun ahli juri yang meletakkan “Keliru” di tangga nombor satu dalam senarai pemilihan, bagaimana gamaknya ia menjadi juara setelah mengira seluruh markah secara agregat? Apakah ada di kalangan juri yang memberi nilai penuh kepada beberapa aspek lagu sehingga mengurangkan markah agregat lagu yang dipilih berada di tangga nombor satu? Johari juga memberi alasan Keliru menjadi juara kerana mempunyai  ciri simplisiti. Maksudnya lagu Keliru bukan sahaja  mudah diingati tetapi juga senang dinyanyikan. Katanya, “Ia harus  mempunyai ketulenannya iaitu tidak meniru atau mencedok lagu lain serta ada  kelainannya.” Ciri kelaianan dalam lagu Keliru ini diakui seorang juri lagi M. Nasir memang mujud.

Alasan Johari masih boleh dipertikai. Apakah lagu-lagu lain yang dipertandingkan malam itu mempunyai unsur tidak tulen dan pencedokan daripada lagu lain? Siapa yang berani mengatakan bahawa Keliru tidak sepenuhnya tulen dan tidak ada unsur pencedokan? Jika ada yang menonton malam itu meneliti secara terperinci persembahan Keliru, baik rentak muzik, gaya penyanyi Ajai dan Nurul menari di pentas bersama kumpulannya dan sebutan liriknya, nescaya ada yang teringkatkan Persembahan The White Minstral di TV pada tahun-tahun 1960an dahulu. Ajai, Nurul dan kumpulan penarinya seolah-olah meniru gaya kumpulan penari The White Minstral Show. Semua berpakaian putih dan fesyen pakaian sama seperti The White Minstral dengan tongkat di tangan. Jadi di mana letaknya ketulenan koreografi dan rentak lagu?

Seminggu sebelum acara dilangsung banyak tulisan (write-ups) yang dibuat oleh akhbar-akhbar tertentu yang dikatakan  “ngam” dengan penganjur pertandingan yang meramalkan polan si polan akan menang dalam kategorinya masing-masing. Siapa vokal terbaik, apa lagu yang unggul dan sebagainya. Hampir semua ramalan itu tepat. “Keliru” tidak diramal menang kecuali sebuah tulisan yang menyebutnya dalam satu kalimat sahaja. Tujuannya barangkali hendak membuat “kejutan” pada malam penyampaian anugerah. Jika demikian halnya, maka penganjur berjaya membuat kejutan  sehingga kebanyakan panel juri turut sama-sama terkejut. Lagipun kategori  lagu Pop Rock belum pernah menang dalam pertandingan-pertandingan lalu.

Sekadar catatan, 12 buah lagu dipertandingkan, empat dalam kategori Balada, empat Irama Malaysia dan empat juga dalam Pop Rock. Kecuali vokal dan persembahan yang dinilai untuk mencari juara ialah lagu (ciptaan/pencipta?) bukan penyanyinya.Ends

Ulasan

Catatan Popular