Jumaat, 19 Jun 2015

Tazkirah 2 Ramadan 1436H

TAZKIRAH RAMADHAN

Lisan yang suka memaki hamun apabila marah, mengeji apabila benci, mengumpat apabila dengki, mengadu domba apabila busuk hati, berbohong untuk menyelamat diri dan mendapati yang dihajati.

Bercerita tentang keaiban orang dan keburukannya mungkin ada suatu kesedapan dan kelazatannya yang tersendiri. Ya, lazat yang diulami oleh nafsu ke dalam diri. Agar manusia tunduk menjadi hamba kepadanya.

Di bulan ini, Nabi mendesak kita untuk mengawalnya, mengekangnya dari terus bermaharajalela dalam diri. Nabi mengingatkan :-

الصيام جنة فلا يرفث ولا يجهل وإن امرؤ قاتله أو شاتمه فليقل إني صائم مرتين

Ertinya : Puasa itu benteng, justeru jangan seseorang berkata buruk dan melakukan perbuatan orang jahil lagi bodoh, dan sekiranya ada yang mencari gaduh, mencercanya, lalu jawablah : Aku berpuasa, sebanyak dua kali. ( Riwayat Al-Bukhari)

Tahanlah dan kawallah kemarahan..

Manusia bila dikuasai marah, kerap berkata keras, memaki lagi menghina. Maka kawal ia sehabis mungkin. Elakkan dari berkata-kata buruk kerananya, ambillah wudhu dan bergeraklah dari tempat kemarahan ke tempat atau perbuatlah urusan lain. Jika kamu sedang berdiri, duduklah, dan seterusnya. Dari Abu Hurayrah r.a:-

فإن سابك أحد فقل : إني صائم ، وإن كنت قائما فاجلس


Ertinya : Sekiranya ada seorang mencercamu, maka katakanlah : Aku berpuasa, dan jika kamu sedang berdiri, duduklah. ( Riwayat Ibn Khuzaymah, Fath Al-Bari, hlm 126)