::RAJA ZARITH SOFIAH::



YANG MAHA MULIA RAJA ZARITH SOFIAH BINTI ALMARHUM SULTAN IDRIS SHAH
D.K. (JOHOR) S.P.M.J, S.P.C.M.

  • Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah Al Mutawakkil Alallahi Shah, dilahirkan pada 14hb. Ogos 1959 di Hospital Batu Gajah, Perak.
  • Beliau ialah puteri kedua dan anakanda yang ketiga kepada D.Y.M.M. Paduka Seri Sultan Perak dan D.Y.M.M. Raja Perempuan Perak.
  • Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Datin Khadijah Kuala Kangsar hingga darjah enam. Setelah tamat pengajian di sekolah rendah, Beliau meneruskan pelajaran ke tingkatan satu di Sekolah Jenis Kebangsaan Raja Perempuan Kalsom Kuala Kangsar.
  • Dalam bulan September 1972, Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah telah melanjutkan pelajaran di Chaltenham Ladies College, di England hingga tingkatan enam.
  • Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah pada bulan September 1977 meneruskan pelajarannya di Davies's College, London dan tahun berikutnya diterima masuk ke Somerville College, di Universiti Oxford setelah lulus peperiksaan Oxford Entrance Examination.
  • Beliau tamat pengajian di Universiti Oxford dengan mendapat Ijazah Bachelors of Arts dalam bulan Jun 1983 dan mengikut tradisi Universiti Oxford, Yang Maha Mulia telah menerima Ijazah Master of Arts selepas tiga tahun iaitu dalam tahun 1986.
  • Dalam tahun 1980 Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah telah berpeluang melawati Turki dan Mekah untuk menunaikan umrah bersama Paduka ayahanda dan bonda serta keluarga. Pada tahun 1985, Yang Maha Mulia telah menunaikan Haji bersama D.Y.M.M. Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan dan Yang DiPertuan bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta'zim.
  • Seperti juga ayahandanya, Yang Maha Mulia adalah seorang yang kaya dengan bakat seni terutama sekali seni lukisan dan lukisan-lukisannya pernah menjadi hiasan buku cenderamata Pesta Lukisan Kanak-Kanak.
  • Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah seorang yang peramah dan mempunyai jiwa rakyat dan sentiasa menyedari dan menghargai segala pengorbanan anggota-anggota Pasukan Keselematan.
  • Pada bulan Mac 1983, Paduka ayahandanya D.Y.M.M. Sultan Perak telah berkenan menganugerahkan Darjah Kebesaran 'Seri Paduka Cura DiManjakini (S.P.C.M.) kepada Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah.

Raja Zarith Sofiah kini bergelar Tuanku

JOHOR BAHRU 21 Nov. - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengurniakan gelaran Duli Yang Maha Mulia kepada isteri baginda, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah sempena sambutan ulang tahun hari keputeraan baginda ke-52 esok.
Setiausaha Jemaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, mulai esok Raja Zarith Sofiah perlu dibahasakan sebagai 'Tuanku' dalam semua persuratan dan majlis yang melibatkannya.
Beliau berkata, pada istiadat penganugerahan yang akan berlangsung di Istana Besar di sini, baginda turut berkenan mengurniakan gelaran 'Yang Amat Mulia Enche' Besar' kepada bonda baginda, Tuanku Puan Hajah Khalsom Abdullah.
"Mulai esok juga, bonda Sultan Johor itu perlu dibahasakan sebagai Yang Amat Mulia dalam sebarang urusan rasmi," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Abdul Rahim berkata, gelaran Yang Amat Mulia Enche' Besar pertama kali dikurniakan oleh Almarhum Sultan Abu Bakar kepada suri baginda dan bonda kepada Almarhum Sultan Ibrahim iaitu Yang Amat Mulia Enche' Besar Zubaidah Abdullah.
Menurutnya, pada majlis itu Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan Darjah Kerabat Pangkat Pertama (DK1) kepada bonda baginda manakala Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dikurniakan Pangkat Pertama Dato' Seri Setia Sultan Ismail (SSIJ).
Beliau berkata, istiadat esok yang dijangka bermula pukul 9.30 pagi akan dimulakan dengan bacaan doa kesyukuran dan disusuli perbarisan tabik hormat oleh Askar Timbalan Setia sebelum Sultan Ibrahim masuk ke singgahsana.
"Semasa perbarisan kehormatan pasukan berkenaan, anakanda baginda, Tunku Abdul Rahman akan mengambil bahagian sebagai pegawai panji-panji yang akan membawa panji pasukan itu," ujarnya.
Abdul Rahim berkata, baginda bertitah supaya anakandanya belajar dan mewarisi adat istiadat diraja negeri Johor dengan itu Tunku Jalil akan dilantik sebagai Menteri bagi darjah Sultan Ismail Yang Amat Mulia Diberkati manakala Tunku Abdul Rahman pula dilantik sebagai Bentara bagi darjah tersebut.
Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman sambil diiringi Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Antarabangsa dan Industri, Tenaga, Air, Komunikasi dan Alam Sekitar negeri, Tan Kok Hong serta Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, M. Asojan yang masing-masing mewakili kaum Cina dan India akan menyampaikan ucapan selamat bagi pihak rakyat dan kerajaan negeri Johor, katanya.
Katanya, ucap selamat Menteri Besar yang diiringi wakil kaum Cina dan India itu diamalkan oleh kerajaan negeri Johor suatu ketika dahulu selain menyokong gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Abdul Latiff Yusof berkata, pelbagai program dianjurkan di setiap daerah sempena sambutan ulang tahun keputeraan Sultan Johor.
Antara program itu adalah pertandingan memancing di Pantai Stulang dan pertandingan bola sepak dan bola jaring di Padang Seri Gelam di sini manakala konsert rakyat pada malamnya di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru.
"Selasa ini, Sultan Ibrahim berkenan mencemar duli untuk bersama rakyat pada majlis jamuan teh di Dataran Bandaraya Johor Bahru manakala keesokannya diadakan jamuan makan malam anjuran kerajaan negeri di Pusat Konvensyen Persada di sini," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia : 22 November 2010

Ulasan

Catatan Popular